Check this out

Tuesday, May 10, 2016

PENTINGNYA "PUSH FACTOR" UNTUK BERMULA

Entri 143
 
Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN 

Saya sudah mendapat aura untuk menjahit kembali kerana saya tahu saya perlu menjahit baju raya tahun ini. 

Kebiasaannya saya akan siapkan baju tersebut sebelum bulan puasa tiba. Saya akan kongsikan entri baju raya dalam entri akan datang.

Saya telah siapkan baju raya tersebut dan momentum untuk menjahit tiba-tiba hilang. Mungkin sudah terasa tidak ada apa yang perlu untuk dijahit untuk masa terdekat.

Padahal, fabrik masih banyak dan pelbagai projek telah dirancang dan difikirkan (berangan sendiri).

Tiba-tiba saya mendapat tahu bahawa Fahmi yang sememangnya akan membawa watak Captain Hook untuk persembahan teater musim panas sekolahnya nanti, perlu menyediakan kostum sendiri.

Jadi, saya memulakan pencarian online untuk membeli pakaian tersebut di sini. Namun, saya hampa kerana harganya yang sangat mahal sehingga RM250. Sudahlah tiada hook nya, harga tersebut bertambah mahal pada fikiran saya.

Saya kemudiannya mengambil peluang untuk mencari bersama suami di Gwanjang Market. Terdapat kedai alatan permainan dan parti di situ, namun agak menghampakan. Kami hanya jumpa topi, pedang dan hook nya sahaja.

Saya sudah jangkakan, inilah push factor untuk saya menjahit. Saya terus mencadangkan kepada suami untuk membeli fabrik berkenaan untuk menjahit kostum itu.

Suami pada mulanya agak was-was kerana dia tahu yang saya tidak pernah menjahit kostum sebelum ini. 

Tetapi setelah meyakinkannya, dia bersetuju. Saya tersenyum, namun ada detik berdebar-debar di situ.

Alhamdulillah, dengan sedikit carian imej sebenar di Google, saya berjaya siapkan kostum Captain Hook. 

Fahmi amat teruja dan agak terkejut dengan hasilnya. Dia lebih bersemangat apabila melihat semuanya sudah lengkap untuk persembahannya nanti.

Beberapa hari kemudian, Cikgu Fahmi mengatakan bahawa semua pelajar perlu memakai kostum tersebut lebih awal sempena sambutan hari kanak-kanak di Korea ini. Alhamdulillah, kami sudah bersedia.

Saya terfikir, jika tidak kerana acara sekolah ini, saya mungkin masih dalam mood suam-suam untuk menjahit kembali. Syukur saya mendapat kembali momentum untuk menjahit begini. 

Begitulah apabila bekerja sendiri di rumah. Jika tiada push factor untuk memberi tekanan kepada kita membuat sesuatu, kita mungkin akan selesa dengan sesuatu situasi tersebut.

Ingatan untuk diri saya sendiri juga, ambillah peluang yang ada. Cuba jadikan sesuatu sebagai "pembakar" untuk kita bermula. Jangan tunggu keadaan meruncing baru hendak bertatih.

Bermula dengan perlahan, dapatkan kayuhan yang stabil dan in shaa Allah minda kita akan sentiasa bersedia.
 

Sunday, May 8, 2016

PERSONAL SHOPPER : BELI BROOCH NAMDAEMUN MARKET

Entri 142
Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN 

Sejak hendak balik ini, ada banyak permintaan untuk saya beli barang dari sini.

Brooch adalah barang yang paling popular yang orang kirimkan selain dari kain cotton dan barang kraft jahitan.

Ini adalah contoh gambar saya ketika membeli brooch. Kadang-kadang saya pergi seorang jika suami tidak bekerja di hujung minggu dan boleh menjaga anak-anak.

Tapi kebiasaanya saya akan ke sana bersama Hanaa apabila Abang dan Kakaknya ke sekolah.

Orang di Namdaemun sentiasa ramai, apatah lagi orang Malaysia. Seperti tidak berada di bumi asing, terjumpa orang Malaysia di sana sini.

Kebiasaanya saya hanya kenakan caj sedikit untuk nilai pertukaran wang asing,  kos pengangkutan pergi dan balik, kos upah serta kos packaging dan shipping.


Gambar di atas adalah ketika pergi sendiri untuk membeli brooch.



Ini pula salah satu keadaan apabila pergi dengan Hanaa. Kalau Mama memilih terlalu lama, dia akan tertidur di situ.

Ini lebih parah apabila tuan kedai di kawasan itu menawarkan diri untuk mendokong Hanaa yang berat itu! Dek kerana Hanaa sudah biasa dengan mereka, mereka tidak keberatan menolong saya tatkala saya sibuk memilih barangan jualan mereka.

Bukan senang untuk saya keluar dan membuat belian, sebab itulah saya tidak boleh terima permintaan yang hendak cepat dan sebagainya. 

Ada pelbagai faktor saya perlu pertimbangkan seperti keadaan cuaca, keadaan kesihatan anak-anak dan sebagainya. 

Hanaa banyak berkorban untuk saya. Dia sudah bosan mengikut saya ke Namdaemun, tetapi kadang-kadang kita kena kreatif untuk membuatkan dia rasa seronok untuk keluar. 

Nanti saya akan kongsikan sedikit tips untuk membuatkan anak-anak fokus apabila keluar ke mana-mana tanpa perlu menggunakan gajet-gajet zaman sekarang ini.

Oh ya, sebelum terlupa. Bagi yang ingin mendapatkan sesuatu dari sini, boleh emailkan saya di tinicraft@gmail.com untuk sebarang pertanyaan.

 

TEMPAT JATUH LAGI DIKENANG, INIKAN PULA TEMPAT MENIMBA PENGALAMAN HIDUP

Entri 141

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
 Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN


In shaa Allah, jika tiada aral, kami akan pulang ke Malaysia pada hujung tahun ini.

Maka akan bermulalah kembali episod lain dalam perjalanan hidup kami setelah tiga tahun merantau di Seoul, Korea ini.
Anak-anak sudah teruja dari sekarang apabila diberitahu akan kepulangan ke Malaysia. Fahmi, perkara pertama dalam fikirannya, nanti kita boleh makan banyak makanan halal! 
Saya tersenyum mendengarnya.
Mana taknya, di sini makanan kami agak terhad. Makanan halal di restoren halal di Itaewon agak mahal dan tiada banyak pilihan.
Yang lainnya makan di rumah. Kadang-kadang kami kehabisan stok bahan mentah Malaysia seperti santan, cili padi dan sebagainya.

Mujur ada kawan-kawan yang memahami dan baik hati menawarkan untuk membawa barang-barang tersebut apabila mereka berkunjung ke sini atas urusan kerja ataupun urusan lawatan peribadi.

Secara jujurnya, perlahan-lahan saya mula rasakan yang saya akan merindui tempat ini. Walaupun keinginan untuk dekat dengan orang tua di tanah air mengatasi segalanya, tetapi perasaan rindu itu pasti menjengah tiba.

Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat menimba pengalaman hidup dan tempat anak-anak membesar serta mengenal erti persekolahan.

Saya tahu, akan ada perbezaan besar apabila pulang ke Malaysia nanti terutamanya untuk anak-anak.

Contoh terdekat adalah Hanaa. Sewaktu kami tiba di sini dulu, dia adalah seorang anak kecil yang baru sahaja berusia setahun setengah.

Sekarang umurnya kurang dari dua minggu lagi untuk mencecah 4 tahun. Apabila tiba saat untuk pulang nanti dia akan berumur empat tahun setengah.

Pada waktu mula datang dulu, dia hanya bertutur beberapa patah perkataan.




Sekarang, dia sudah besar panjang. Petah berbicara membuat ayat lengkap.

Akalnya juga sudah panjang. Pandai juga mengambil hati Mama. Selalu tolong Mama kemas rumah.

"I don't like our house in mess," ayat yang kerap dituturkan sekarang.

Hanaa, Hannamdong, Seoul, Spring 2016.

Yongsan Family Park, Seoul, Spring 2016
Namsangol Hanok Village, Seoul, Winter 2016

In shaa Allah saya akan bercerita lagi berkenaan persiapan untuk kami pulang ke Malaysia nanti.

Semoga Allah memberkati kalian semua. Terima kasih.


DUA KERJA, SAYA SUKA

Entri 140

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN 

Perihal dua kerja ini sudah lama terjadi kepada mana-mana surirumah yang duduk di rumah. 

Yang penting, perkara pertama yang kita kena fikirkan adalah keutamaan.

Kalau kita jenis yang rajin, bertenaga, berbakat apatah lagi, kita boleh lakukan bukan setakat dua kerja, malah tiga, empat dan seterusnya.

Cuma, kita perlu pandai susun keutaaman kerja yang mana harus didahulukan.

Untuk pengalaman saya sendiri, sejak melahirkan anak ketiga dan berhenti kerja di pejabat, urusan anak-anak dan keluarga adalah keutamaan saya kerana itu jugalah niat asal saya berhenti kerja.

Memandangkan saya juga sudah lama berhobi menjahit, maka saya juga menjahit jika ada kelapangan dalam menguruskan hal keluarga.

Ini adalah gambar terbaru saya menjahit setelah sekian lama "berehat" atas urusan tertentu. 

Ini juga adalah kali pertama saya menggunakan fabrik Korean Viscose Cotton yang menjadi pilihan ramai orang Malaysia yang melancong ke Korea. Kain ini terdapat di Gwanjang Market yang menjadi tempat wajib dikunjungi untuk membeli belah di sini.

Saya cuba menjahit sehelai jubah moden untuk kegunaan sendiri. Sambil menjahit, saya melayan Hanaa membuat buku kerjanya.

Saya akui, sejak awal tahun ini, Hanaa memang menunjukkan minat untuk ke sekolah. Namun atas sebab tertentu, saya hanya 'mengajar'nya di rumah sahaja. 

Walaupun umurnya akan mencecah 4 tahun tidak lama lagi, tetapi dia sudah habiskan beberapa buku kerja latihan untuk kanak-kanak berumur 4-5 tahun.

Keutamaan saya di sini adalah Hanaa dan sambil-sambil itu saya menjahit untuk mengisi masa terluang. 

Buatlah beberapa kerja sekali pun, jika kita pandai uruskan keutamaan, in shaa Allah semuanya akan "on track".

Apa yang sangat penting adalah keberkatan kerja itu sendiri. Jangan hanya kerana ingin kejarkan duit, kita mencuri masa yang tidak sepatutnya untuk membuat kerja lain. Nanti yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

Kita yang rugi.

 

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...