Check this out

Saturday, January 23, 2016

CEMAS DAN TERSENYUM

Entri 107

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN


Kelmarin, apabila masuk sahaja ke dalam rumah, Tasnim cemas memanggil saya ke cermin. Dia tunjukkan sesuatu di dalam mulutnya.
 
Saya bersegera ke tempat dia berdiri, tepat di hadapan cermin di kabinet putih berhadapan bilik saya.
 
Gigi baru! Kenapalah saya tidak perasan sebelum ini.
 
Dia ada bagitahu giginya goyang sebelum ini dan saya rasa itu normal, sama seperti apa yang Fahmi lalui sebelum ini. Jadi saya hanya biarkan.
 
Saya rasa sedikit cemas pada waktu itu kerana gigi baru Tasnim sepertinya sudah tumbuh namun gigi susunya masih kuat, hanya ada goyang sedikit.
 
Pengalaman baru bagi saya dalam membesarkan anak-anak. Saya tahu saya tidak pernah membawa anak-anak ke klinik gigi sebelum ini. Ya, tidak pernah.
 
Fahmi si sulung? Dia sudah mencabut giginya sendiri enam kali iaitu untuk enam batang. Kelakar pula kalau diingat kembali.
 
Dia sangat berani. Setiap kali hendak mencabut giginya, dia akan beritahu semua orang di dalam rumah yang dia ingin menjadi seorang doktor gigi yang boleh mencabut giginya sendiri. Kadang-kadang, dia sudah bawa kepada saya giginya yang telah dicabut. Giginya ada rosak sedikit sahaja, mungkin itu menyebabkannya senang bergoyang.
 
Untuk Tasnim, giginya langsung tidak rosak kerana dia sememangnya jenis yang suka  menjaga giginya. Dia amat sukakan makanan berunsurkan coklat seperti brownies, kek coklat, choc chip cookies dan sebagainya tetapi akan menggosok giginya 3-4 kali sehari dan lebih kerap jika selepas makan makanan yang berkenaan.

Walaupun Tasnim sukakan makanan sebegitu, saya juga masih mengawal pengambilan anak-anak terhadap makanan ringan dan gula-gula.
 
Percaya atau tidak, Tasnim dan Fahmi hanya kenal aiskrim ketika saya  mengandungkan Hanaa di Malaysia dulu. Itupun sewaktu ke percutian hari keluarga di Melaka. Terpengaruh dengan anak-anak kawan-kawan yang lain untuk membeli aiskrim. Saya tersenyum sendiri apabila teringatkan momen itu. Mereka takut-takut untuk mencuba aiskrim yang sejuk itu.
 
Sekarang, duduk di Korea ini tidak semua makanan sebegitu boleh di makan dek kandungannya. Sudahla tidak boleh memahami bahasa Korea dan banyak juga bahannya yang shubhah, jadi kami elakkan sahaja. Ini menyenangkan tugasan saya, kerana anak-anak sudah faham jika kita kata tidak halal.
 
Malah apa sahaja "birthday goodies" dari kawan-kawan sekolah pun mereka sanggup tunggu sehingga balik ke rumah untuk ditunjukkan kepada saya dan saya akan dapatkan pertolongan dari adik-adik pelajar di sini untuk membacakan bahannya.
 
Jadi disebabkan gigi Tasnim yang tidak rosak langsung itulah saya memandang enteng berkenaan pertumbuhan gigi.
 
Mujurlah rezeki kami klinik gigi di kawasan ini masih belum tutup pada waktu itu, jadi saya sempat membuat temujanji untuk ke sana pada keesokan harinya.
 
Lega, saya tersenyum sendiri. SubhanAllah indahnya perasaan seorang ibu. Cemas pada mulanya tetapi bahagia kerana dapat melihat perkembangan anak-anak di depan mata. Kalau dulu sewaktu saya bekerja, banyak perkembangan anak-anak cikgu di tadika atau transit yang tahu terlebih dahulu.
 
Apa pun, Alhamdulillah.
 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...