Check this out

Thursday, December 10, 2015

PELBAGAI CABANG BEKERJA DI RUMAH

Entri 98

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
 
 
"Tini, awak tak apalah berhenti kerja sebab pandai menjahit, ada sumber pendapatan. Macam kami ini tiada kemahiran," ujar sebilangan kawan-kawan semasa saya hendak berhenti kerja.
 
Ya, saya akui yang saya pernah menjadikan bidang jahitan sebagai punca pendapatan tambahan semasa saya masih bekerja dahulu. Sebenarnya, bermula sebagai hobi tetapi lama-kelamaan menjadi semakin rancak mengambil tempahan.
 
Cuma, saya ingin kongsikan di sini bahawa bekerja di rumah ini bukan semata-mata untuk mencari pendapatan sampingan, tetapi juga untuk mengisi masa lapang dan secara tidak langsung juga mewujudkan satu platform untuk kita aktif, walaupun hanya dari rumah.
 
Kalau hanya untuk mencari pendapatan, kita mungkin akan terdedah kepada risiko stress dan seterusnya menjadi suram yang menyebabkan bekerja di rumah tidak seronok. Apabila tidak seronok, tidak mustahil akan timbul rasa menyesal, rendah diri dan sebagainya.
 
Memang hanya kita sahaja tahu apa yang kita hendak. Tetapi, jika kita ada satu "keluarga" yang dalam keadaan yang sama dengan kita ataupun "support group", kita mungkin akan lebih berfikiran terbuka tentang bekerja dari rumah, apa peluang dan potensi diri yang sebenar dan mungkin juga memberi pelbagai idea dan cetusan rasa untuk memulakan sesuatu yang baru.
 
Satu lagi yang paling penting adalah keikhlasan dan doa. Jangan pernah putus berdoa semoga Allah berikan kita yang terbaik.
 
Sebagai contoh, penghijrahan kami ke Korea dua tahun yang lepas. Pada waktu itu memang hobi jahitan saya yang mengambil tempahan terhenti begitu sahaja.
 
Saya termenung sendiri, aku ada bakat, ada alatan dan bahan, tetapi aku hendak jahit untuk siapa? Apa lagi aku boleh buat di negara asing ini? Boleh ke aku bahagikan masa untuk semua ini? Siapa yang sudi menjadi pelanggan nanti?
 
Tetapi rupanya perancangan Allah itu sentiasa hebat. Kita pun tidak tahu apa lagi lorong yang dibukaNya untuk kita. Yang penting, usaha!
 
Saya tidak sangka, beberapa kali saya bawa kek ke jamuan di sini, saya mendapat tempahan kek pula! Tidak pernah saya bayangkan yang saya akan membuat kek tempahan orang lain. Walaupun tidak kerap, tetapi Alhamdulillah, syukur sangat.
 
Bukan disebabkan duit, tetapi lebih dari itu. Saya yang hanya dahulunya suam-suam kuku sahaja membuat kek, itupun jarang kerana menempah dengan jiran-jiran satu taman yang merupakan pembuat kek tegar. Apabila kena hantar kek ke sekolah untuk hari jadi anak-anak, saya mesti menempah kek dari mereka termasuklah kek ulangtahun perkahwinan dan sebagainya.
 
Tetapi apabila berada di tempat orang, semuanya kena buat sendiri. Saya cuba beberapa kali dan ramai yang berpuas hati. Sejak itulah saya cuba yakinkan diri untuk menerima permintaan tempahan. Pada mulanya saya tolak, tetapi selepas diyakinkan, saya cuba. Alhamdulillah, syukur.
 
Waulaupun kejadian kek saya tidak indah dan bervariasi seperti pembuat kek yang lain, tetapi di negara orang ini, in shaa Allah kek yang tidak diragui bahan-bahannya seperti ini tetap mendapat sambutan.
 
Ini adalah di antara kek-kek yang saya pernah buat.
 
Jika ada yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang Akademi Bekerja Di Rumah, boleh email saya di tinicraft@gmail.com
 
Terima kasih.
 











 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...