Check this out

Monday, November 2, 2015

KASIH SAYANG ABAH - LAPAR

Entri 78

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN

Setiap kali musim peperiksaan tiba, saya akan terkenangkan kenangan sewaktu bersekolah dulu.

Walaupun abah bekerja (cikgu) kadang-kadang dia akan siapkan sarapan, mengambil tugas Ma. Sarapan paling popular adalah telur masak separuh selain dari mee goreng. Abah kata sarapan penting untuk senang belajar di sekolah nanti. Sebelum Subuh lagi dia sudah siapkan, untuk anak-anak ke sekolah awal.

Semasa saya mulakan sekolah menengah di bandar Kota Bharu, Abah tidak menunjukkan dia risaukan saya walaupun saya anak perempuan sulung.

Rezeki saya, Abah dapat mengajar di sekolah berhampiran sekolah saya. Jadi setiap pagi, saya akan keluar bersamanya. Dia akan berhenti belikan saya nasi berlauk, takut saya lapar atau tidak dapat beli makanan pada waktu rehat.

Ada satu perkara yang saya belajar dan sampai sekarang saya ingat. Abah ajar saya selitkan duit di dalam celahan wallet, tempat yang kita tidak nampak. Duit ini lain dari yang seharian duit belanja, dan jumlahnya jauh lebih besar.

Katanya, simpan ni takut ada kecemasan.

"Oh, takut nanti Cikgu suruh beli buku ke apa-apa boleh ambil duit ini ya? Tanya saya.

"Tak, itu tak apa, boleh bayar kemudian. Ini takut tiba-tiba lapar atau takcukup duit untuk makan, boleh guna yang ni."

Saya mengangguk, mengiakan. Dalam hati saya, jauhnya Abah fikir takut anak lapar.

Balik dari sekolah, saya akan menunggu Abah di depan kedai roti berdekatan jalan besar ke sekolah. Apabila Abah sampai, saya terus masuk ke kereta. Mesti ada tergantung goreng pisang atau apa sahaja kuih. Abah kata, makan dulu takut lapar.

Rutin bersama Abah berterusan sehingga saya masuk Tingkatan Dua, Abah terpaksa berpindah sekolah yang jauh ke Kuala Balah. Jadi, saya perlu tinggal di asrama.

Tapi, Alhamdulillah. Dengan rutin yang sudah dilalui dan dipelajari, saya boleh berdikari.

Kadang-kadang tidak sedar, banyak perkara kita belajar dari orang tua. Walaupun tidak bertulis, tetapi ilmu itu sangat berharga dan masih tersemat hingga sekarang.

Alhamdulillah.
 Nota: Gambar Abah dan Ma bersama anak saudara saya, Mujahid. Gambar ini saya ambil ketika balik beraya di Malaysia tempoh hari.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...