Check this out

Wednesday, October 21, 2015

PERNAH SUSAH SELEPAS BERHENTI KERJA?

Entri 70
 
Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
 
"Pernah tak rasa susah atau tidak cukup selepas berhenti kerja?", ada kawan tanya saya suatu masa dulu selepas beberapa ketika saya berhenti kerja.
 
Dengan tersenyum, dialog soalan itu sudah terlalu kerap saya dengar dan saya juga masih dengan jawapan dialog yang sama.
 
"Alhamdulillah, saya tidak pernah merasa susah. Semuanya cukup dan yang paling penting urusan kepentingan anak-anak tetap dipenuhi seperti biasa dan duit bulanan kepada ibu bapa tetap tidak berkurang."
 
Jawapan saya nampak ringkas, tetapi ada dua perkara penting di situ.
 
Pertama, CUKUP.
 
Makna cukup di sini sangat luas. Lain orang, lain definisi cukupnya. Semuanya terserah kepada keperluan masing-masing dan juga KEHENDAK. Ya, kehendak di sini amat dominan. Jika ikut nafsu, semuanya kita HENDAK walaupun itu sebenarnya bukan keperluan.
 
Untuk kes saya sendiri, memang ada perubahan dari pelbagai segi, tetapi itu semua terserah kepada kita untuk mengemudi "kapal" kita sendiri. Memang saya tidak mensasarkan sebarang kehendak yang terlampau, setakat biasa-biasa sahaja sebab sudah terbiasa begitu sejak dari zaman kerja lagi. Jadi, tidak susah untuk saya berasa cukup dengan kehendak apabila saya sudah berhenti kerja.
 
Kedua, IBU BAPA.
 
Dari kita kecil hinggalah kita  berkeluarga, ibu bapa tidak pernah berhenti berfikir tentang kita selama kita bernama anak. Tidak kira kita susah atau senang, mereka tetap mendoakan kebahagiaan dan kejayaan kita.
 
Memberi duit bulanan itupun, mereka tidak minta. Mereka tidak hendak pun sebab mereka tahu kita ada kehidupan kita sendiri dengan keluarga masing-masing. Mereka pun sudah cukup dengan apa yang ada. Malah ada juga orang tua yang terpaksa tanggung anaknya yang sudah berkeluarga, dasyat bukan?
 
Tetapi, apabila kita beri kepada mereka, ada "harga" di situ.
Nilainya bukan pada angka pada duit yang kita bagi, tetapi jauh lebih tinggi dari itu.
 
Ibu bapa akan dapat rasa, terharu, syukur anak-anaknya sudah berjaya, bahagia  dan tidak lupakan mereka.
 
Ibu bapa juga akan rasa berbunga-bunga bahagia bila anak-anaknya hidup gembira dan tidak hidup susah.
 
 
Syukur ya Allah, saya tidak pernah rasa susah selepas berhenti kerja. Tidak pernah kami tidak cukup makan, apatah lagi berhutang dan sebagainya. Ibu bapa pula bertambah kerap berkunjung dari kampung sebab seronok kerana saya ada di rumah jika mereka ingin menjenguk cucu-cucu mereka.
 
Macam sekarang kami berjauhan, tetapi kami berhubung dengan mereka seperti semasa kami di Malaysia dulu. Hanya jarak memisahkan kami, tetapi yang lain tetap sama. Selalulah hubungi ibu bapa kita, berbaktilah kepada mereka sebaik-baiknya.
 
Berilah mereka bahagia, berilah mereka gembira, kerana mereka telah berikan kita segala-galanya.
 
 

 
Nota: Gambar semasa ingin mengambil kakak dan abang balik dari sekolah. Hanaa baru bangun tidur petang. Saya akan rindukan saat ini. Nanti mama dah tua, Hanaa pegang tangan mama juga ya?
 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...