Check this out

Friday, October 16, 2015

BELAJAR BAHASA KOREA

Entri 57

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
 
 
Awal  tahun lepas, beberapa bulan selepas saya tiba di sini,  saya menghadapi pengalaman sukar untuk berkomunikasi di hospital. Pada waktu itu, ada kecemasan untuk Hanaa sehingga saya terpaksa pergi ke Emergency Department. Saya akan ceritakan pengalaman tersebut di entri lain. Tetapi peristiwa pahit itu membuatkan saya berkobar-kobar untuk belajar bahasa Korea.
 
Rezeki saya, seorang kawan baru Malaysia di sini yang sedang membuat Phd di Hankuk University, mengajak saya untuk menyertai kelas korea percuma di salah sebuah perpustakaan kanak-kanak di kawasan universiti tersebut.

Ianya agak jauh dari tempat tinggal saya yang mana jika saya menaiki bas, saya harus transit dahulu sebelum menaiki bas lain. Jika saya menaiki subway, saya perlu berjalan kaki kira-kira 15-20 minit selepas turun di stesen terakhir untuk ke kelas tersebut. Kedua-dua perjalanan samada bas atau subway tersebut memerlukan saya berjalan dari rumah ke salah satu stesen tersebut dalam 15-20 minit. Jadi,  perjalanan sahaja mengambil masa sejam lebih untuk sampai ke perpustakaan tersebut.

Pada awalnya saya amat bersemangat tidak kira hujan atau salji lebat, perjalanan ke kelas digagahi juga demi ilmu bahasa tersebut. Selepas beberapa sesi, saya sudah mahir menulis dan membaca tetapi tidak tahu banyak maksud dek tidak dapat menghafal banyak perkataan (vocabulary).

Kelas hanya dua kali seminggu iaitu Isnin dan Rabu tetapi cukup komitmen waktu saya. Selepas dua bulan lebih, saya terpaksa berhenti lama kerana Hanaa demam yang kerap pada musim sejuk. Namun selepas itu, atas pelbagai komitmen, saya terpaksa berhenti. Hanaa juga sudah pandai tidak mahu keluar bila cuaca sejuk.

Ini adalah contoh perjalanan yang saya harus lalui untuk ke kelas. Jika suasana salji sebegini, jalan adalah amat licin. Pernah juga saya jatuh beberapa kali. Badan saya juga sakit-sakit kerana selalu sangat mengangkat "stroller" turun naik tangga stesen subway apabila Hanaa tertidur didalamnya. Tidak sampai hati untuk kejutkan dia yang sudah setia menemani saya untuk ke kelas. 
 
 


 
Menarik kelas ini, selain dari belajar di perpustakaan, kami juga mempunyai aktiviti di luar kelas. Kami pernah diajar memasak masakan Vietnam, lawatan ke Guri Flower Park dan sebagainya.
 
Aktiviti luar kelas yang saya paling suka apabila dapat sertai kelas Seramik di kawasan berdekatan. Pada masa yang sama, beberapa perkataan baru dapat dipelajari.
 
 
 
 
Tangan saya tidaklah berseni seramik, tetapi saya amat teruja menyiapkan mangkuk ini.
 

 
 
 
Hanaa juga bersemangat mencuba kreativitinya. Cikgu kelas ini memberinya beberapa bentuk cookies cutter. Ini adalah satu-satunya kelas saya yang Hanaa tidak tidur. Jika tidak, sepanjang saya belajar di perpustakaan itu, dia akan tidur di riba saya atau pun di atas alas yang disediakan.
 
 
 

 
 
 
 
Salah satu gambar Hanaa tidur di dalam kelas bahasa saya. Ini adalah salah satu sebab saya ambil keputusan untuk berhenti. Saya kasihan padanya, terpaksa menghabiskan masa menunggu saya. Sekarang, saya senang menghabiskan masa di rumah bersamanya untuk pelbagai aktiviti.
 

 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...