Check this out

Tuesday, September 1, 2015

PETANG YANG BERMAKNA

Entri 26
 
Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
 
Rutin harian petang saya sama, iaitu mengambil anak-anak pulang dari sekolah di tempat yang telah dikhaskan untuk menunggu bas sekolah. Seperti biasa, saya lebih senang untuk keluar awal dengan niat untuk membawa Hanaa si bongsu ambil angin dan bersiar-siar dengan menolak stroller. Jika tiada apa, saya akan menyelusuri tepi-tepi bangunan apartment di kawasan ini. Satu kawasan saya pusing untuk "membeli" waktu.
 
Kadang-kadang penat menjengah, jadi saya hanya berdiri di situ melihat gelagat manusia yang lalu lalang dan tidak kurang juga Hanaa menjadi perhatian mereka. Ada yang singgah menyentuh pipinya, membelek rambut ikalnya yang keperangan dan ada yang memberinya coklat. Hendak berbual panjang, bahasa Korea saya amat  terbatas. Hanya tahu mengucapkan selamat, berasal dari mana, tinggal di mana, menjawab umur Hanaa dan kadang-kadang menjawab umur sendiri! Ya, ada di antara mereka yang ingat saya ini masih high school katanya.

Tempat menunggu bas sekolah anak-anak saya itu terletak di antara sebuah gereja yang agak besar di Hannamdong dan sebuah klinik haiwan yang mana setiap hari pengunjung klinik tersebut adalah pemilik haiwan peliharaan. Mereka sama ada datang bersama anjing atau kucing.
Saya dapati ramai golongan muda yang belum berkahwin tetapi gemar untuk mempunyai binatang peliharaan yang mungkin sebagai hobi atau sebagai teman. Mereka sanggup berhabisan wang untuk membeli pelbagai pakaian, mainan, hiasan, stroller, carrier kepada anjing mereka terutamanya. Takubah dilayan seperti seorang bayi kecil. Seronok melihat mereka melayan karenah binatang peliharaan masing-masing.
Tetapi pada suatu petang ini agak berlainan apabila seorang pemuda Korea persis artis Kpop berhenti di hadapan saya. Melihatkan saya berdiri betul-betul di sebelah gereja itu, dia bertanya, "Awak tahu ini adalah sebuah gereja? Masjid awak adalah di atas bukit di Itaewon sana," sambil menunjukkan ke arah kawasan berbukit di depan kami.
Tergamam.

Apa maksudnya bertanya soalan begitu? Adakah saya telah melakukan kesalahan? Ahh..

Saya menguatkan semangat dan cuma berkelakuan biasa seperti tiada kalut, tiada risau, tiada takut.

Saya memberitahunya bahawa saya sudah sedia maklum akan hal itu dan hanya menunggu bas sekolah anak. Memandangkan perbualan kami amat mudah kerana dia berbahasa Inggeris juga, lalu dia bertanya mengenai negara asalku.
Setelah memberitahu saya dari Malaysia, dia bertanya lagi adakah semua orang di Malaysia adalah Muslim? Saya menceritakan serba sedikit latarbelakang bangsa dan agama penduduk di Malaysia. Melalui riak wajahnya dia seperti ingin bertanya lebih lanjut namun perbualan kami terhenti begitu setelah bas sekolah berhenti di hadapan kami. Dia pun berlalu sambil sempat sekali lagi berkata, "Ini adalah gereja!" . Selepas saat itu saya sudah tidak melihatnya lagi, sehingga hari ini.
Semester ini, tempat menuggu bas adalah masih lagi di tempat yang sama. Dan saya masih lagi teringat peristiwa itu dan merasai keterujaan menceritakan tentang agama-agama di Malaysia serta bagaimana kami menghormati antara satu sama lain untuk hidup aman damai bersama.

Saat ini, saya rindu Malaysia.
 
Nota: Ini adalah koleksi gambar di musim luruh di kawasan berdekatan kediaman kami. Bangunan coklat di sebelah kanan itu adalah bangunan gereja yg disebut di atas.



 
 
 


 

 

2 comments:

  1. Tini tak tahan tang mcm budak high school hahaha. Entah2 dia mmg penyanyi kpop

    ReplyDelete
  2. Hehe doh mmg ada tanya gitu.pah kalo kuar dgn paan ke taman ke ada tanya aku tu ayah aku ko/pakcik aku ko..ingat aku berlari2 kejar adik2 bakali.huhu.

    dop kot far kalo dop mesti ramai kerumun doh.huhu..

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...