Check this out

Sunday, August 23, 2015

PENGALAMAN DI GWANJANG MARKET DAN KISAH KAIN FREE


Entri 16

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN

Kali ini saya ingin berkongsi pengalaman membeli kain di Gwanjang Market yang terletak berdekatan dengan Dongdaemun. Ia merupakan tempat yang wajib dikunjungi oleh pelancong Malaysia ke sini kerana dek kain pasangnya yang pelbagai corak terutamanya cotton dan satin silk. Malah banyak kedai di sini telah menyediakan kain-kain tersebut dalam lipatan 4 ela, di khususkan untuk pelancong Malaysia. Secara logiknya, orang-orang korea tidak memerlukan 4 ela kain untuk membuat baju dan tidak semua mereka sukakan kain bercorak bunga (kecuali "ahjumma", makcik-makcik Korea). Ini menunjukkan bahawa orang Malaysia amat suka datang ke sini untuk membeli kain pasang.
 
Ini adalah salah satu di antara lawatan saya ke sini yang mana ia juga adalah tempat kegemaran saya sebagai orang yang berhobi menjahit. Jika saya ada masa lapang, sesekali saya akan ke sini bersama Hanaa, si bongsu yang selalu menjadi peneman setia dikala abang dan kakaknya ke sekolah. Salah satu sebab saya suka ke sini juga adalah kerana di sini terdapat banyak kiosk/kedai kecil di celah-celah lorong yang bukan sahaja menjual kain cotton tetapi juga pelbagai material kain. Mereka biasanya mendapat stok lebihan-lebihan kain dari kedai-kedai besar dan kemudiannya disusun dan dijual. Ada juga di antara mereka mempunyai lot kedai tetapi masih juga membuka kiosk di tengah lorong yang mana lebih cepat untuk mendapat perhatian pelanggan.  
 
Kelihatan pakcik (ahjusshi) ini sedang menunjukkan saya berapa banyak ela kain tersebut. Pada waktu itu, saya berpeluang menggunakan peluang sewaktu hari cuti dan suami saya dapat menemani saya mencari material untuk menjahit baju raya anak-anak. Dan apa yang membuatkan saya sangat gembira, suami saya yang memilih materialnya pada kali ini. Oh ya, Ahjusshi ini adalah salah satu tempat kegemaran saya. Dia ada pelbagai jenis material seperti chiffon, satin, cotton, lycra, lace dan banyak lagi. Dia ibarat "kawan baik" saya di kawasan ini dan memandangkan saya pelanggan tetapnya, dia selalu memberi saya  kain percuma samaada yang hanya satu ela, dua ela dan sebagainya. Dia amat peramah dan boleh berbahasa Inggeris. Dia suka melihat Hanaa kerana sama umur dengan cucu-cucu lelakinya yang merupakan kembar seiras. Dia pernah tinggal di Arab Saudi selama tiga tahun dan tahu beberapa patah perkataan Arab, memberi salam dan sebagainya. 

 
Dia yang tidak lokek untuk memberi diskaun ini juga amat baik hati untuk memberikan kain ela tebal untuk Hanaa di waktu musim sejuk di kala tidak puas hati dengan dengan kain selimut Hanaa di dalam stroller. Apabila pulang kerumah, saya boleh menjahit kain tadi sebagai skirt dan sebagainya. Saya juga biasa menunjukkan kepadanya apa yang jahit dengan kain percuma itu. Tetapi pada lawatan kali ini bersama suami saya, kami menolak dengan baik kerana sudah terlalu kerap dia memberi kain percuma untuk saya.


 
Ini adalah hasil yang saya jahit untuk material yang saya beli pada waktu ini. Material di atas itu seperti kain baju pengantin dan kain di bawahnya seperti kain untuk membuat abaya. Suami saya yang memilih material dan warna kain-kain ini. Ya, jangan terkejut dia adalah Advisor bagi projek kraf saya terutamanya pemilihan corak kain.
 

 
 
Kebetulan saya bercerita perihal hasil jahitan kain dari Gwanjang Market, ini juga adalah satu daripadanya. Kedua-dua kain untuk skirt dan baju ini saya beli dari Ahjusshi di atas. Kainnya pelbagai jenis dan terhad tetapi cukup untuk saya berkarya dengan mesin jahit saya. Baju ini adalah untuk Damia semasa konsert musim sejuk di sekolahnya.
 


 
Ini pula hasil kain percuma dari Ahjushi. Saya dapat jahit sehelai blouse untuk saya sendiri dan saya sukakan coraknya, putih dan hitam, tidaklah saya nampak macam Ahjumma di sini.
 

Ok, berbalik kepada Gwanjang Market, ini juga salah seorang Ahjusshi di gerai pilihan saya. Saya pernah membeli cotton dan kain jeans di sini. Dia juga seperti Ahjusshi tadi, peramah dan baik serta mesra dengan Hanaa. Oh ya, dia juga selalu memberi kain percuma kepada saya apabila dia tahu saya menjahit di rumah. Pernah suatu ketika saya memberitahunya ingin balik bercuti ke Malaysia, dia memberi kain percuma khas untuk ibu saya.

 
 
Ini adalah di antara pilihan kain di gerai Ahjusshi ini. Sangat cantik. Rambang mata dibuatnya, tambahan pula dari pandangan tukang jahit sendiri!
 





Ini adalah salah satu kain Jeans yang saya beli dari Ahjusshi. Sangat selesa, tidak terlalu tebal dan tidak terlalu nipis.

 
 
Dan ini pula adalah salah satu dari kain percuma yang diberi oleh Ahjusshi ini. Saya menjahit sehelai skirt untuk saya. Dia telah kain ini untuk menambah selimut Hanaa sedia ada di stroller.  Saya menolak berkali-kali tetapi dia berkeras juga. Alhamdulillah.
Materialnya dari jarak dekat. Saya sangat jatuh cinta dengan kain ini. Sangat selesa sebagai skirt saya. Saya kira orang Korea di sini membeli kain ini untuk dibuat jaket atau coat.
 

 
 
Pandangan kedai lain di sini. Saya asyik membeli dengan dua orang Ahjushi tadi sehingga lupa untuk mengambil gambar kedai-kedai lain di sini. Ya, di sini bukan hanya kain sahaja, malah terdapat bahagian menjual makanan, kedai makan, bahan-bahan mentah, peralatan menjahit, cenderahati dan sebagainya. Tetapi untuk saya, hanya bahagian ini yang saya kunjungi.


Selingan: Pulang dari Gwanjang Market pada hari tersebut, salji turun di Itaewon. Ini adalah video pada hari tersebut.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...